Monday, August 18, 2008

wahai adik-adikku



pertama sekali, ingin aku luahkan kebimbangan yang sangat mendalam terhadap adik-adik juniorku. tingkatan 2 terutamanya. terlibat dengan masalah-masalah disiplin, majoritinya berkaitan sosial. dan jika diperhati, kebanyakan mereka yang bermasalah terlibat dengan "cinta"

adik-adikku,

masalah 'couple' ini bukan perkara kecil. aku tahu, kalian tidak dapat menahan keinginan dan kecenderungan untuk mencintai dan dicintai. aku juga tahu, bagaimana bahagianya hati kalian tatkala meniti saat yang dirasakan benar-benar membahagiakan itu. tetapi adik-adikku, sedarlah, kenikmatan dan kebahagiaan itu sebenarnya merupakan sesuatu yang penuh kehinaan dan sangat menjijikkan di sisi Allah.

dan tahukah adik-adik, puncanya tidak lain dan tidak bukan, adalah ikhtilat, iaitu pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. teknologi, memang tak disangka-sangka, itulah yang mendekatkan kita kepada kemaksiatan, kerana disalahgunakan. sms, berchating sesama kaum tidak sejenis, tanpa sebab yang jelas dan benar-benar perlu. memang sukar untuk menahan diri daripada terus menghubungi kaum bukan sejenis. tetapi di situlah nilainya, kesabaran dalam melawan hawa nafsu dan syaitan laknatullah.

adik-adik,

kesukaran itu, akan dibalas dengan kemanisan yang tiada tandingannya di sisi Allah kelak.

dari sudut lain pula, jika dilihat, mereka yang bercouple, kebanyakannya memiliki akhlak yang baik, hormat akan kakak2, bertanggungjawab dan tidak sombong, malah lebih baik daripada mereka yang tidak ber'couple'. namun adik-adik, maksiat tetap maksiat. hukumnya tetap haram. tiada kompromi. dan di sinilah sayangnya, adik telah terjerumus ke lembah yang hina itu.

ya, mungkin sebahagiannya didorong oleh masalah dalaman keluarga, dahaga akan kasih sayang keluarga, pantas diambil peluang oleh syaitan, untuk mengheret adik agar mencari kasih sayang yang tidak halal. dalam situasi ini, memang sangat sukar untuk menjauhkan diri daripada berpasangan. kerana sedari awal lagi, kita dicipta dengan perasaan inginkan kasih sayang.

oleh itu, pilihlah kasih sayang Allah, yang Maha Penyayang, Maha Pengasih, subhanallah, tiada cinta yang lebih agung daripada cinta dan kasihNYA. ramai yang tidak dapat merasai kenikmatan cinta ilahi ini. kerana mereka tidak cuba menyelaminya. sangat malang. cinta itu tidak pernah berkurang, malah semakin hari semakin bertambah. alangkah mulianya cinta itu. rebutlah. anda tidak akan menemui kehampaan. satu jaminan yang pasti.

adik,

apakah kesudahan cinta terlarang itu? putus, sambung, putus, kemudian bertukar orang lain pula, tukar lagi, dan tukar.. kononnya mencari cinta yang benar-benar sejati. begitukah? rendahnya perasaan cinta dalam diri adik-adik. sedemikian mudah diberikan kepada sesiapa, bersilih ganti. janganlah, wahai adik-adikku, kehalusan perasaan itu sangat tinggi nilainya, untuk dijaga dan dipelihara oleh pemiliknya. agar tinggi nilainya dan untuk diberi kepada seorang yang telah ditakdirkan untuk memiliki harta yang bernilai itu dengan ikatan yang sah.

adik-adikku yang dikasihi,

walaupun kadangkala, hatiku berlagak keras, namun aku tidak pernah sanggup untuk melihat wajah-wajah yang pernah kukenali ini, di akhirat kelak diseret ke neraka kerana kemaksiatan yang dilakukan di dunia ini. sungguh. aku tidak pernah sanggup. kenikmatan cinta haram yang sedang mengulit dirimu itu sebenarnya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kesiksaan yang akan kamu terima sebagai balasannya kelak. tidak berbaloi langsung.

wahai adik-adikku,

sesungguhnya, besarlah kekecewaan di hatiku, andai ada seorang yang pernah aku kenali, namun aku tidak dapat menyelamatkannya dari azab Allah itu. jangan. janganlah cuba mendekati kemaksiatan itu. tolong. tolonglah. aku merayu dan memohon sepenuh hatiku, kerana aku tidak akan sanggup melihat wajah anda menderita dek siksaan itu.

No comments: